Pangazou Production & Entertainment - Opunso Tinau Atagak Kointutunan Om Koubasanan


Pangazou Penampang adalah Pangazou yang bergelar Pahlawan yang berani untuk mempertahankan kampungnya di Penampang daripada diserang lanun-lanun pada zaman dahulu. Dan tujuan saya untuk membuat blog ini bukanlah mencuri idea orang tetapi untuk menyimpan sejarah-sejarah ini dan juga bersama-sama untuk menaikkan semangat Orang Kadazan Dusun terutama dibahagian Penampang yang bergelar sebagai Pangazou Penampang seperti Monsopiad dan lain-lain Pahlawan Kadzan Dusun Di Penampang.

Monday, October 30, 2006

JAKET KEBAL MAT SALLEH MEMPUNYAI MUKJIZAT LUARBIASA

Kalau pada zaman dahulu, seseorang itu ditakuti bukan kerana kegagahan luaran seperti berbadan besar, tegap dan mempunyai otot badan yang berpintal-pintal, tetapi apa yang amat ditakuti ialah isi dalaman seperti ilmu kebatinan dan kekutan rohaninya. Untuk berlawan atau beradu tenaga seseroang itu perlu mempunyai kekuatan mental serta ilmu dalaman mempertahanan diri dan bukan dilihat pada kekuatan fizikalnya.

Pada tahun 1894 hingga 1900 Datu Paduka Mat Salleh merupakan pahlawan Bajau yang cukup terkenal dengan ilmu kebatinan sehinggakan dengan hanya bersenjatakan parang dan lembing pahlawan terbilang itu boleh menentang tentera penjajah yang lengkap dengan senjata api termasuklah meriam yang dianggap ketika itu sebagai senjata yang menggerunkan.

Di samping Mat Salleh ada beberapa orang lagi pahlawan dari suku kaum Dusun, Murut, Brunei, Rungus, Suluk, Irranun dan Bisaya yang juga dikatakan mempunyai kekuatan luar biasa yang pernah menentang penjajah dalam era pemerintahan Syarikat Berpiagam British Borneo Utara, diantaranya seperti Antenom, Sharif Osman, Mat Sator, Pak Musa, Si Langkap dan lain-lain lagi namun Datu Paduka Mat Salleh adalah yang amat terkenal sekali dan paling digeruni oleh tentera British.

Usaha tentera British untuk memusnahkan Mat Salleh sering gagal kerana beliau dikatakan mempunyai kekuatan yang luar biasa, malah dikatakan Mat Salleh boleh bergerak di seluruh pelusuk negeri Sabah dengan begitu pantas sekali sehingga amat menyukarkan tentera penjajah menjejakinya.

Datu Paduka Mat Salleh bukan sahaja memiliki kekuatan luaran malah yang paling utama ialah kekuatan dalaman sehinggalah ia amat disegani oleh para pengikutnya dan diantara kelebihan pahlawan terbilang itu ialah "Jaket Kebal" yang mempunyai tulisan petikan dari Al-Quran.

Jaket tersebut mempunyai 2 lapisan. Lapisan luar diperbuat daripada kain tenunan tangan yang dihiasai dengan tulisan jawi yang disulam dengan benang dan di bahagian dalam tulisan tersebut (di antara sulaman dan kain) terdapat kepingan kertas yang berfungsi untuk membentuk tulisan jawi tersebut. Lapisan kedua jaket tersebut diperbuat daripada kain jenis kapas.

Jaket ini mempunyai lobang yang koyak yang dipercayai bekas terkena peluru senjata tentera Inggeris dan di lapisan dalam jaket terdapat bekas karat dan ada juga bekas yang terkoyak dipercayai kesan daripada serangan serangga.

Jaket ini dipercayai kebal kerana mengikut cerita yang dapat dikumpul, jaket utamanya dipakai oleh Datu Paduka Mat Salleh ketika berhadapan dengan tentera Inggeris yang sering kali memburu mereka dan dipercayai beberapa lagi jenis jaket yang sama dipakai oleh para pengikutnya.

Datu Paduka Mat Salleh diisytiharkan mati ditembak dengan meriam di kubunya di Kampung Tibabar, Tambunan ketika itu kononnya pahlawan Bajau itu tidak memakai baju kebal dan ketika sedang mengambil air whudu (bercuci) bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Pemeliharaan telah diusahakan bagi menjaga ketahanan khazanah sejarah yang amat berharga itu. Proses rawatan ke atas jaket itu telah diadakan dalam 5 peringkat. Peringkat pertama ialah pembersihan dengan menggunakan alat penyedut berkuasa rendah. Peringkat kedua ialah menampal mana-mana kawasan yang koyak dengan menyematkan "Japanese Tissue" dengan menggunakan pelekat khas.

Proses rawatan diteruskan dengan "pengkonsolidasian" dengan menggunakan larutan "carboxymethylcelolose"(sejenis tepung) bercampur air suling namun sebelum proses pengkonsolidasian dilakukan kajian awal ataupun percubaan awal telah dilakukan bagi menentukan reaksi kimia yang digunakan tidak mendatangkan kesan buruk kepada jaket tersebut.

Proses seterusnya ialah pengeringan dan pembersihan sisa-sisa rawatan dengan kaedah menekan atau menindih jaket dengan "blotting paper" iaitu sejenis kertas penyerap dan "mylar"(sejenis kertas plastik). Blotting paper ditukar sehingga 3 kali. Penukaran kali ketiga akan dibiarkan untuk 24 jam lamanya. Warna blotting paper akhirnya akan kelihatan kekuningan setelah proses ini selesai. Proses ini agak memakan masa kerana dianggarkan bagi satu hari hanya boleh menyelesaikan rawatan untuk ukuran kira-kira 23sm X 6.5sm sahaja.

Peringkat yang akhir ialah pengeringan jaket keseluruhannya. Proses pengeringan ini sentiasa telah diawasai agar jaket tidak akan ditumbuhi kulat dan setelah kering jaket itu telah dan sedang dipamerkan untuk tontonan orang ramai.

Pihak Muzium Sabah masih lagi dalam proses pengkajian kesasihan jaket ini, namun ianya sudah menjadi bahan pameran di gelari Terowong Masa dan Gelari Tamadun Islam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri jaket yang dianggap telah memberi mukjizat kepada Datu Paduka Mat Salleh.

Jaket kebal Mat Salleh dipamerkan di gelari Terowong Masa bagi menerangkan kepada orang ramai tentang penglibatan Mat Salleh dalam era penentangan kerajaan Inggeris. Jaket ini juga dipamerkan bersama-sama sejenis senjata yang didakwa digunakan oleh pahlawan Bajau itu sebelum ia mati ditembak dengan meriam oleh tentera Inggeris pada tahun 1900.

Satu jaket lagi yang didakwa pernah dipakai oleh pengikut Mat Salleh dipamerkan di gelari Tamadun Islam bagi menjelaskan kepada pelawat muzium tentang penglibatan Mat Salleh dan pengikutnya dalam pengembangan syiar Islam di Sabah.

Bagi memperingati perjuangan Datu Paduka Mat Salleh, Muzium Sabah telahpun membina sebuah memorial di Kampung Tibabar, Tambunan di tapak bekas kubu di mana pahlawan itu didakwa ditembak mati oleh tentera Inggeris.

Isi kandungan pameran di memorial tersebut meliputi sejarah perjuangan Datu Paduka Mat Salleh serta peralatan-peralatan yang pernah digunakan oleh pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar-gambar, illustrasi, catatan-catatan yang berkaitan serta serpihan-serpihan tembikar dan lain-lain lagi.

Memorial itu dibuka setiap hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali hari Jumaat dan 1 Mei. Orang ramai bolehlah mengunjungi memorial tersebut dengan percuma.



(P)&(C) Copyright By Jabatan Mizium Sabah

Posted by Katama Ronald :: Monday, October 30, 2006 :: 3 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------