Pangazou Production & Entertainment - Opunso Tinau Atagak Kointutunan Om Koubasanan


Pangazou Penampang adalah Pangazou yang bergelar Pahlawan yang berani untuk mempertahankan kampungnya di Penampang daripada diserang lanun-lanun pada zaman dahulu. Dan tujuan saya untuk membuat blog ini bukanlah mencuri idea orang tetapi untuk menyimpan sejarah-sejarah ini dan juga bersama-sama untuk menaikkan semangat Orang Kadazan Dusun terutama dibahagian Penampang yang bergelar sebagai Pangazou Penampang seperti Monsopiad dan lain-lain Pahlawan Kadzan Dusun Di Penampang.

Monday, February 13, 2006

Asal Usul Kebudayaan Tradisional Kaum Kadazan Dusun: Magavau, Humabot, Sumazau, Bobohizan dan lain-lain lagi.

Kepada semua pengunjung website Pangazou Penampang ini adalah asal usul cerita daripada Datuk Jintol Mogunting yang saya petik dari perpustakaan Negeri Sabah. Ikutilah cerita ini.


Menurut Cerita daripada nenek moyang pada zaman dahulu terdapat sepasang anak iaitu seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Kedua-dua anak ini berasal daripada batu. Batu itu pula terapung-apung ditengah-tengah ruang angkasa.

Tidak berapa lama kemudian, maka terbelahlah batu itu yang menyebabkan kedua-dua anak itu lahir ke dunia iaitu di bumi kita ini. nama mereka ialah Huminodun(Lelaki) dan suminundu(Perempuan).

Apabila kedua-duanya telah dewasa, mereka pun jatuh cinta lalu mendirikan rumahtangga. tidak berapa lama kemudian mereka berkahwin dan dari perkahwinan mereka itu maka lahirlah seorang anak perempuan iaitu anak mereka yang pertama. Anak itu telah diberi nama iaitu HINOKIZAN.

Huminodun dan Suminundu amat menyanyangi Hinokizan. Hinokizan lahir dalam bentuk yang sempurna dan rupa paras yang sungguh indah dan comel. Tidak hairanlah jika Huminodun dan Suminundu gembira dan bangga anak yang sedemikian rupa.

Sejak Hinokizan dilahirkan, Huminodun dan Suminundu bekerja keras dan bertunkus lumus mencari nafkah bagi membesarkan Hinokizan dan juga untuk mereka sekeluarga. Setiap hari kerja Huminodun ialah memburu binatang di dalam hutan yang berdekatan dengan tempat mereka tinggal. Kerja Suminundu pula hanyalah menebas kayu-kayu di hutan, mencari benih-benih tumbuhan yang tumbuh subur di pinggir hutan, kerja-kerja rumah dan juga menebas semak samun disekitar rumah mereka agar dapat dijadikan kawasan tanaman bagi benih-benih yang didapatinya dari pinggir hutan.

Pada suatu hari Huminodun pergilah memburu didalam hutan dan tinggallah Suminundu dan anaknya Hinokizan dirumahnya. Sebaik sahaja Huminodun pergi memburu dan hilang dari pandangan mereka Suminundu pun membawa Hinokizan ketempat yang telah ditebasnya. Suminundu juga membawa seuncah pundi kecil yang diisikan benih-benih yang didapati dari pinggir hutan. Apabila mereka tiba ditempat itu maka Suminundu pun menyuruh Hinokizan supaya berbaring dirumput yang tumbuh menghijau. Tujuan Suminundu ialah untuk membuang kutu-kutu rambut yang terdapat pada rambut Hinokizan. Sebelum Suminundu menyuruh Hinokizan berbaring dirumput Suminundu telah pun menanam benih-benih yang dibawanya tadi. Setelah benih-benih itu ditanam barulah Suminundu menyuruh Hinokizan baring dirumput berdekatan dengan kawasan tertanamnya benih-benih itu. Maka Hinokizan pun baringlah dirumput itu. Sebaik sahaja Hinokizan berbaring dirumput Suminundu pun mulalah mencari kutu-kutu rambut yang terdapat pada rambut Hinokizan. Pada waktu itu angin bertiup dengan kencang dan udaranya segar serta nyaman sekali. Suasana yang aman itu menyebabkan Hinokizan tertidur.

Setelah sekian lama Hinokizan tertidur dan Suminundu sendiri pasti bahawa Hinokizan tertidur dengan nyenyaknya maka Suminundu mengeluarkan sebilah parang yang dibawanya bersama. Suminundu mengerat badan Hinokizan dan selepas itu dicincangnya pula keratan-keratan badan Hinokizan. Darah Hinokizan terpancut keseluruh kawasan yang ditebasnya itu. Suminundu membunuh Hinokizan kerana dia tak dapat menyara Hinokizan lagi. Ini adalah kerana suaminya Huminodun belum juga pulang-pulang daripada memburu di dalam hutan. Makanan yang padanya hanyalah cukup untuk seorang sahaja.

Seminggu kemudian Suminundu pun kembali ke tempat dimana Suminundu telah membunuh anaknya Hinokizan. Apabila Suminundu tiba ditempat itu Suminundu pun berasa hairan dan juga terkejut kerana melihat benih yang ditanam oleh Suminundu sendiri sudah mengeluarkan hasil. Suminundu tidak menyangka bahawa benih-benih itu akan tumbuh dengan suburnya.

Berjenis-jenis tumbuhan telah tumbuh disitu misalnya padi, jagung, ubat-ubatan, dan banyak lagi tumbuhan lain. Kononnya tumbuh-tumbuhan itu terjadi daripada darah daging, kepala, tulang dan lain-lain bahagian badan Hinokizan. Suminundu Menjadi sangat gembira lalu mengucapkan terima kasih kepada bahagian-bahagian badan Hinokizan yang telah dicincangnya itu dan meminta maaf kerana terpaksa membunuhnya anaknya. Suminundu pun membawa balik hasil-hasil itu lalu memasak dan memakanya dengan lahapnya.

Tidak berapa lama kemudian maka baliklah Huminodun daripada memburu didalam hutan. Huminodun pun menyerahkan hasil buruannya itu kepada Siminundu isterinya. Huminodun pun bertanya dimana perginya Hinokizan kerana Huminodun amat rindu dengan anaknya Hinokizan.

Suminundu pun menceritakan apa yang telah berlaku sejak pemergian Huminodun ke hutan untuk memburu. Setelah Huminodun mendengar kisah itu maka Huminodun pun menyuruh suminundu menunjukkan tempat dimana Hinokizan di bunuh. Setelah Suminundu memberitahu tempat itu uminodun pun terus pergi ke tempat itu.

Apabila Huminodun tiba ditempat itu Huminodun juga mersa hairan kerana semua benih-benih yang ditanam oleh Suminundu semuanya menjadi. Tetapi bukan itu sahaja yang dilihatnya bahkan juga darah, dagigng, tulang, kepala dan sebagainya juga ada. Huminodun kemudian menjadi susah hati kerana itulah satu-satunya anak mereka yang ada. Huminodun kemudian menebas rumput rumpai yang tumbuh disekelilingnya kawasan itu.

Tiba-tiba Huminodun mendengar satu suara. Dia terus memasang telinganya. Setelah beberapa lama barulah Huminodun pasti bahawa suara itu adalah suara Hinokizan. Dia memandang di sekelilingnya. Tetapi Huminodun berasa hampa kerana Huminodun tidak nampak sesiapapun. Sura itu menyuruhnya mendengar apa yang akan dikatakan oleh Hinokizan kepada Huminodun nanti. Huminodun pun mendengar sambil degupan jantungnya bertambah kencang.

Suara yang menyerupai suara Hinokizan itu berkata;

"Ayah saya ialah Hinokizan anak ayah. Saya boleh nampak ayah tetapi ayah tidak boleh nampak saya. Saya sudah menjadi tumbuh-tumbuhan disini ayah. Ambillah tujuh tangkai padi yang paling tinggi dan selepas itu ikatlah kesemua tujuh tangkai padi itu dan carilah buluh yang kecil dan belahlah hujungnya dan selipkanlah tujuh tangkai padi itu ke hujung buluh itu. Apabila semua padi sudah dituai bawalah kembali tujuh tangkai padi itu dan simpanlah ia dengan selamat. Jangan lupa untuk memasukkan tujuh tangkai padi itu kedalam sebuah tajau yang besar. Selepas 30 hari kemudian saya akan lahir semula ke dunia menemui ayah dan juga ibu yang saya sayangi serta dirindui selalu. Ingatlah kata-kata saya ini ayah. Jangan ada sedikit pun yang tersilap. Jika silap ayah dan ibu tidak akan dapat berjumpa dengan saya lagi. Ingatlah ayah....."

Selepas itu suara Hinokizan pun hilang. Huminodun pun melakukan apa yang disuruh oleh Hinokizan. Diambilnya tujuh tangkai padi lalu dicarinya buluh dan dibelahnya buluh itu kemudian desilipkannya tujuh tangkai padi ke celah-celah buluh itu. Dibawahnya tujuh tangkai padi itu pulang lalu dimasukkan kedalam sebuah tajau yang besar.

Perbuatan Huminodun itu menghairankan Suminundu. Huminodun pun menceritakan kembali apa yang telah terjadi. Suminundu mendengar dengan penuh perhatian dan tidak menyampuk pun kata-kata Huminodun. Selesai sahaja Huminodun bercerita Siminundu pun tersenyum dan bersyukur kerana Hinokizan tidak menaruh dendam pada Suminundu.

Genap sahaja 30 hari, Suminundu dan Huminodun pun duduk dekat tajau itu. Mereka menunggu dengan penuh kesabaran. Kira-kira waktu matahari hampir terbenam di sebelah barat maka terdengarlah mereka bunyi yang aneh dari tajau itu. Tidak berapa lama kemudian keluarlah Hinokizan dari tajau dalam tajau itu dengan pakaian Bobohizan.Hinokizan juga membawa keluar peralatan-peralatan yang terdiri daripada Gong, Sesevion, Hinibu, dan lain-lain lagi. Apabila Hinokizan keluar sahaja dari tajau itu huminodun dan Suminundu terus menerpa kearah Hinokizan lalu mereka anak-beranak pun berpeluk cium lalu bersalam-salaman untuk menghilangkan rasa rindu masing-masing.

Mereka berpesta dan bersuka ria sepanjang hari bagi menyambut kepulangan Hinokizan. Mereka juga memukul serta membunyikan segala peralatan yang dibawa oleh Hinokizan dan juga menari Sumazau iaitu tradisional Kaum Kadzan Dusun di Sabah.

Setelah mereka penat bersuka ria mereka pun bercerita dan berbual-bual sambil minum kopi. Waktu itu juga Hinokizan pun menunjukkan kepandaiannya bermain alat-alat muzik dan juga cara-cara Mogondi / Momuinait, Magavau, Humabot, Bobohizan, Magang dan juga Moginakan.

Selain daripada itu Hinokizan juga mengajar mereka cara-cara membuat ubat daripada akar-akar kayu dan juga tumbuhan-tumbuhan hijau bagi mengubati orang-orang yang sakit. Jika cara perubatan tradisional ini diikuti kemungkinan besar penyakit yang tak dapat disembuhkan dapt disembuhkan.

Satu lagi cara mengubati penyakit ialah dengan cara perubatan tradisional yang dipanggil Bobohizan seperti Monohindong dan juga Mogsisingkod. semua ini diajar oleh Hinokizon kepada ayah dan ibunya. Huminodun dan Suminundu sekali lagi berasa bangga terhadap Hinokizon.

Semua acara-acara ini iaitu Magavau, Sumazau dan juga yang lain-lain adalah hasil daripada tunjuk ajar Hinokizan yang hidup semula daripada padi.

Begitulah cerita tentang asal usul Kebudayaan Tradisional Kaum Kadazan Dusun yang saya selidik daripada cerita orang tua di Penampang.




Begitulah cerita Asal Usl Kebudayaan yang saya petik dari Mendiang Datuk Jintol Mogunting. Terima kasih kerana sudi membaca.


(P)&(C) Mendiang Datuk Jintol Mogunting

Posted by Katama Ronald :: Monday, February 13, 2006 :: 5 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------