Pangazou Production & Entertainment - Opunso Tinau Atagak Kointutunan Om Koubasanan


Pangazou Penampang adalah Pangazou yang bergelar Pahlawan yang berani untuk mempertahankan kampungnya di Penampang daripada diserang lanun-lanun pada zaman dahulu. Dan tujuan saya untuk membuat blog ini bukanlah mencuri idea orang tetapi untuk menyimpan sejarah-sejarah ini dan juga bersama-sama untuk menaikkan semangat Orang Kadazan Dusun terutama dibahagian Penampang yang bergelar sebagai Pangazou Penampang seperti Monsopiad dan lain-lain Pahlawan Kadzan Dusun Di Penampang.

Sunday, April 30, 2006

Biodata Mendiang Datuk Jintol Mogunting

Mendiang Datuk Jintol Mogunting adalah anak kepada mantan Ketua Anak Negeri, Mogunting dan Kosundap Terani yang dilahirkan pada 1 Mac 1924 dan adik-beradik seramai 13 orang, 3 lelaki dan 10 perempuan.

Semasa kecil beliau di amanatkan oleh mendiang bapa beliau untuk mengerjakan sawah padi dan memelihara ternakan. Pada usia 13 tahun, beliau menjejakkan kakinya kali pertama ke sekolah St. Micheal Penampang yang mana kemudiannya berpindah ke Sekolah Sacred Heart, Jesselton ketika itu, pada tahun 1940.

Pada tahun 1941, Sekolah terpaksa ditutup apabila askar-askar Jepun telah berjaya menguasai negeri kita North Borneo ketika itu, dalam Perang Dunia Kedua.

Ketika dalam masa alam persekolahannya sehingga ke masa kini, beliau amat meminati bidang Sukan Olahraga. Acara kegemaran beliau adalah 100m, 200m, dan 400m. Pada tahun 1984 dalam usia 60 tahun, Mendiang Datuk Jintol Mogunting berjaya mendapat pingat emas dalam acara 100m dan 200m di kejohanan Sukan Veteran yang diadakan di Kompleks Sukan Likas.

Dari hasil usaha pencapaian yang cemerlang, beliau telah dipanggil untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Olahraga Veteran yang diadakan di Hong Kong pada tahun 1984. Beliau berjaya mengutip pingat perak untuk Negara dalam acara 200m dan rekod baru bagi acara 100m walaupun menerima cabaran yang sangat kuat daripada pelari-pelari veteran dari Negara England, India, Indonesia, Hong Kong, China, Korea, Pakistan dan Singapura.

Beliau sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan yang sama di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1986. Beliau menggondol empat pingat emas dalam acara kegemarannya termasuk Lompat Jauh. Ketika itu, usia Mendiang Datuk Jintol Mogunting sudah menjangkau 62 tahun. Beliau juga pernah ke Taiwan dalam kejohanan sukan tersebut pada tahun 1990.

Badan semakin dimakan usia, namun kegigihan dan semangat kesukanannya yang berkobar-kobar, Mendiang Datuk Jintol Mogunting kini berusia 68 tahun pada tahun 1992, mewakili Malaysia sekali lagi dalam kejohanan yang sama di Hong Kong. Mendiang Datuk Jintol Mogunting berjaya merebut dan membawa balik empat pingat emas ke tanah air dan satu rekod baru dipecahkan dalam acara 100m (14.5s).

Pengalaman pekerjaannya yang pertama adalah di Jabatan Keretapi pada musim pemerintahan Jepun. Kemudiannya. Pada tahun 1967, beliau ditawarkan pekerjaan di Nabalu Company Sdn Bhd sebagai mandur. Pada tahun 1969, beliau memegang jawatan yang sama di Lembaga Padi sebelum beliau cuba berdikari untuk menjadi Kontraktor yang berjaya.

Seperti kata pepatah “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”, maka mengikut jejak mendiang bapa beliau pada tahun 1970, beliau ditawarkan jawatan sebagai Ketua Anak Negeri. Oleh kerana pengalaman beliau dalam Undang-Undang Adat Istiadat yang telah dikebungnya sekian lama, Maka beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Daerahdari tahun 1976 hinggalah ke tahun 1994. Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kampung sejak dari tahun 1959 hingga 1970.
Daripada beberapa pengalaman, usaha yang gigih, khidmat dan orang yang penuh tanggungjawab serta tidak pernah mengenal erti keletihan, beliau dianugerahkan beberapa Bintang Kebesaran Negeri sebagai tanda penghargaan perkhidmatannya kepada Kerajaan Negeri dan Masyarakat.

Bintang Kinabalu (BK) 1971
Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 1980
Pangkat Pangkuan Negara (PPN) 1980
Ahli Setai Darjah Kinabalu (ASDK) 1983
Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) 1986


Mendiang Datuk Jintol Mogunting adalah seorang yang agresif yang paling disanjungi dan dihormati kerana penglibatan beliau dalam beberapa persatuan seperti:

1. Pengerusi PIBAGU Sekolah St. Micheal Penampang Tahun 1986
2. Pengerusi PIBAGU Sekolah Datuk Peter Mojuntin 1988 - 1998
3. Ahli Majlis Daerah Penampang 1976 - 1985
4. Ahli Pembangunan dan Tindakan Daerah 1983 – 1994
5. Ahli Kebajikan Daerah Penampang 1976 – 1994
6. Ahli Penyertaan Status Bumiputra 1986 – 1996
7. Ahli Kajian Undang-Undang 1990 – 1994
8. Ahli Seumur Hidup KDCA Sejak Tahun 1970
9. Ahli Seumur Hidup Penampang Recreation Club Sejak Tahun 1970
10. Ahli Seumur Hidup Ex-St. Michealian Sejak Tahun 1980


Pada masa lapangnya, Beliau akan berhijrah sambil membawa keluarga yang tercinta pergi melancong. Beliau pernah melawat Negeri Malaysia. Penah juga melawat ke Negara Brunei Darussalam, Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea, China, Australia, dan telah menyertai satu rombongan ke Eropah yang dikenali sebagai Europe Tourism dan melawat sebanyak 12 Negara dalam masa 28 hari.

Mendiang Datuk Jintol Mogunting adalah seorang Datuk kepada cucu-cucunya dan merupakan seorang yang dikagumi juga seorang yang kuat mempertahankan adapt-istiadat dan juga Kebudayaan Kaum Kadazan di Daerah Penampang.



(P) & (C) Copyrite By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Sunday, April 30, 2006 :: 2 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------

Wednesday, April 05, 2006

Riwayat Hidup Mendiang Datuk Peter J. Mojuntin



Ini adalah Tugu Peringatan Mendiang Datuk Peter J. Mojuntin. Tugu ini telah dipindahkan di tengah-tengah pekan Donggonggon, Penampang.




Ini adalah tarikh kelahiran Mendiang Datuk Peter J. Mojuntin dan juga tarikh kemalangan yang menimpa mendiang semasa menjalankan tugas di seberang laut dengan menaiki pesawat kapal terbang.




Ini adalah tanda perasmian yang telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Bernard G. Dompok bagi menempatkan Tugu Peringatan Mendiang Datuk Peter J. Mojuntin dan di berkat oleh MSGR. Rev Father Primus Jouil







Ini adalah butir-butir karier Mendiang Datuk Peter J Mojuntin semasa Mendiang masih hidup lagi.



Sila baca latar belakang Mendiang lebih lanjut di bawa:


Mendiang Datuk Peter J. Mojuntin telah dilahirkan di Kampung Hungab, Penampang pada 10hb Oktober 1939. Beliau adalah anak ketiga dari keluarga yang miskin. Beliau mendapat pelajaran awal di Sekolah Rendah St. Micheal’s, Penampang dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Seberang Laut Cambridge di Sekolah Menengah Sacred Heart, Tanjung Aru pada tahun 1957.

Beliau berkhidmat di situ dari tahun 1958 hingga tahun 1960. Semasa tempoh perkhidmatan beliau di situ, beliau bergiat di dalam Pergerakan Pengakap di sekolah tersebut dan dipilih untuk mewakili Daerah Penampang menghadiri Jamboree Pengakap Sedunia di Filipina pada tahun 1959.

Selepas beberapa tahun, beliau terpaksa berhenti bekerja sebagai seorang guru dan memperolehi pekerjaan dengan Koperasi Pembangunan Tanah Jajahan. Semasa di sana beliau telah dihantar ke sekolah Outward Bound, Lumut, Kuala Lumpur untuk menjalani Kursus Latihan Kepimpinan selama setahun. Beliau telah lulus dengan cemerlangnya. Sekembalinya, beliau telah menjawat jawatan sebagai Kadet Eksekutif. Namun begitu, pekerjaan itu tidak berkekalan.

Pada tahun 1962, beliau telah mula bergiat dalam bidang politik. Semasa pilihanraya yang pertama Kerajaan Tempatan, beliau telah terpilih menjadi Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Kota Kinabalu bagi daerah kawasan Penampang kerana bakatnya sebagai seorang pemimpin. Di samping kebolehan beliau itu, perhubungan rapat beliau dengan Allahyarham Tun Fuad Stephens juga telah memperluaskan pencapaian beliau dalam bidang politik. Beliau bersama Allahyarham Tun Fuad Stephens serta pengikut-pengikut mereka telah menubuhkan UNKO dan kemudiannya UPKO.

Pada tahun 1963, beliau telah menjadi orang yang pertama dari Sabah mewakili Malaysia di Perhimpunan UNO. Beliau juga diberikan penghargaan untuk berucap di Perhimpunan tersebut. Pada tahun 1964 merupakan masa yang istimewa bagi beliau kerana masa itu beliau telah berkahwin dan mendirikan rumahtangganya. Pada tahun itu juga, beliau mewakili Sabah ke Perhimpunan Belia Sedunia di Amberst, Massachussetts, Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menghadiri Konvensyen Parti Demokratik di Atlantic City, Amerika Syarikat sebagai seorang pemerhati. Pada tahun 1965, beliau pula mengambil bahagian di dalam Persidangan Gabungan Antarabangsa Belia Sosialis yang diadakan di Bombay, India. Berhubung dengan tahun suci 1975, beliau telah menziarahi Rome, Italy.

Semasa pilihanraya umum negeri yang pertama, beliau terpilih sebagai ahli di dalam Dewan Perundangan Negeri bagi Moyog pada tahun 1967. Pada tahun 1971, Beliau terpilih semula dan diberikan jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Industri. Semasa pilihanraya umum negeri tahun 1976, beliau sekali lagi terpilih sebagai ahli Dewan Perundangan Negeri.

Walaupun beliau merupakan seorang yang sibuk, beliau telah dapat melibatkan diri di dalam berbagai kegiatan sukarela. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Penampang dari tahun 1967 hingga 1976. Beliau telah banyak kali merasmikan berbagai majlis pembukaan dan lain-lain upacara. Sebagai seorang penganut agama Kristian yang aktif, beliau telah banyak menyumbangkan masa dan tenaga demi kebaikan masyarakat Kristian. Beliau telah mempengerusikan Majlis Pusat Parish Penampang dan menerusi inisiatif beliau, sebuah bangunan bagi kegunaan Parish tersebut telah dapat didirikan. Semasa beliau menjadi Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Kota Kinabalu, beliaulah penggerak utama di dalam usaha menambahkan bilangan jalanraya yang baik di daerah Kota Kinabalu dan lain-lain lagi kemudahan awam. Bangunan Dewan Tun Fuad Stephens di Penampang dan bangunan pejabat Majlis Daerah Luar Bandar Kota Kinabalu telah didirikan menerusi usaha beliau. Beliau juga telah mempengerusikan Kelab Rekreasi Penampang dan menyebabkan tertubuhnya sebuah bangunan bagi kegunaan Kelab Rekreasi tersebut.

Malangnya pada 6hb Jun 1976, semasa menjalankan tugas, beliau meninggal dunia di dalam suatu kemalangan udara. Pemergian yang begitu memeranjatkan telah dikabungi dan ditangisi. Namun begitu, kenangan mendiang akan tetap kekal disanubari setiap insan yang telah mengenali dan menyayangi beliau.

(P)&(C) Copyright By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Wednesday, April 05, 2006 :: 0 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------