Pangazou Production & Entertainment - Opunso Tinau Atagak Kointutunan Om Koubasanan


Pangazou Penampang adalah Pangazou yang bergelar Pahlawan yang berani untuk mempertahankan kampungnya di Penampang daripada diserang lanun-lanun pada zaman dahulu. Dan tujuan saya untuk membuat blog ini bukanlah mencuri idea orang tetapi untuk menyimpan sejarah-sejarah ini dan juga bersama-sama untuk menaikkan semangat Orang Kadazan Dusun terutama dibahagian Penampang yang bergelar sebagai Pangazou Penampang seperti Monsopiad dan lain-lain Pahlawan Kadzan Dusun Di Penampang.

Thursday, June 05, 2008

Bendera Dan Lambang Negeri Sabah



BENDERA NEGERI SABAH

A) Bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.
B) Lima jenis warna melambangkan lima Bahagian di Negeri Sabah.
C) Warna biru zirkon, melambangkan keamanan dan ketenteraman.
D) Putih rmelambangkan kemurnian dan keadilan.
E) Warna merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.
F) Warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran.
G) Warna nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.





LAMBANG NEGERI SABAH

A) Dua tangan menjunjung bendera Negeri Sabah melambangkan perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum demi kemajuan dan kejayaan.
B) Bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.
C) Lima jenis warna melambangkan lima Bahagian di Negeri Sabah.
D) Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman.
E) Putih melambangkan kemurnian dan keadilan.
F) Warna merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan.
G) Warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran.
H) Warna nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama


LAGU KEBANGSAAN NEGERI SABAH

Sabah Tanah Airku

Sabah Tanahair Ku
Negeri Kita Yang Tercinta
Pemuda Pemudi Semua
Marilah Bangunlah Bersatu Semua
Marilah Bersama Serta Maju Jaya
Merdeka Sepanjang Masa
Bersatu Segala Bangsa
Sentosa Sabah Negeri Merdeka

Posted by Katama Ronald :: Thursday, June 05, 2008 :: 2 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------
Labuan

Labuan

Minat British terhadap Borneo Utara dihidupkan semula selepas tempoh 40 tahun khususnya Labuan, sebuah pulau yang terletak di sebelah barat laut Borneo. Pada 1844 James Brooke berunding dengan Sultan Brunei tentang penyerahan pulau Labuan untuk digunakan oleh British sebagai tempat melombong batu arang di samping menjadikan satu pangkalan untuk membenteras kegiatan lanun serta meningkatkan perdagangan.

Pada 18 Disember 1846, satu perjanjian telah ditandatangani yang menyebabkan pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British. Brooke telah menjadi Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di Borneo. William Napier dilantik menjadi Timbalan Gabenor, Hugh Low sebagai Setiausaha Kolonial dan Spencer St. John sebagai setiausaha sulit kepada Brooke. Labuan tidak mampu berkembang seperti mini Singapura atau Pulau Pinang, seperti yang diharapkan oleh pengasasnya.

Iklim yang tidak memuaskan, serangan malaria dan kekurangan kemudahan asas telah menjadi faktor penghalang kepada pembangunan pulau tersebut. Rentetan sejarah Labuan boleh dilihat daripada pelbagai perubahan pentadbirannya. Pada tahun 1890, Labuan telah diletakkan di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Pada 1907, ia diletakkan di bawah kerajaan Negeri-negeri Selat. Selepas Perang Dunia Kedua, Labuan menjadi sebahagian daripada jajahan Borneo Utara. Kemudian pada 16 April 1984, Labuan telah menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan Malaysia.

Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British ( The British North Borneo Chartered Company)

Selepas kekecewaan British terhadap Labuan, minat British terhadap Borneo Utara pudar sehinggalah ke tahun 1881 apabila sebuah syarikat perdagangan, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir Borneo Utara. Walau bagaimanapun kehadiran mereka telahpun didahului oleh pengaruh dan minat Amerika buat seketika.

Pada 1865, seorang konsul Amerika di Brunei, Claude Lee Moses telah berjaya menyewa Borneo Utara dari Sultan Brunei untuk tempoh 10 tahun. Kemudian beliau menjualnya kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) yang dimiliki oleh J.W.Torrey, T.B. Harris dan beberapa orang pedagang Cina. Torrey memilih Kimanis, satu kawasan di barat daya Borneo Utara sebagai pangkalannya dan memulakan pembinaan penempatan lalu dinamakan 'Ellena'. Usaha mencari bantuan kewangan bagi membiayai pembangunan penempatan tersebut gagal lalu ditinggalkan. Dengan hampir menjelangnya tamat tempoh sewaan wilayah tersebut, Torrey berhasil menjual haknya kepada konsul Austria di Hong Kong iaitu Baron Von Overbeck. Overbeck berjaya memperbaharui tempoh sewaan tersebut untuk 10 tahun dari Tumonggong Brunei. Selain itu, Overbeck berhasil mendapatkan bantuan kewangan dari Dent bersaudara (Dent brothers - Alfred and Edward) bagi menampung perbelanjaan rancangan yang dirancang untuk Borneo Utara. Beliau bersama Count Montgelas, dari Kedutaan Austro-Hungarian di London dan A.B. Mitford, seorang ahli politik kemudiannya telah memberi hak-hak mereka kepada Alfred Dent.

Pada 1888, Borneo Utara telah menjadi negeri naungan British di mana kerajaan British akan melindungi Borneo Utara di bawah pengaruh British. Pemerintahan Syarikat ini terhadap Borneo Utara telah memberi banyak pembangunan di kawasan ini. Borneo Utara diperintah melalui satu sistem secara hairaki (tidak langsung). Pada amnya pentadbiran berjalan dengan aman, namun begitu terdapat juga beberapa penentangan kecil. Penentangan yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari tahun 1894-1900 diikuti oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun 1915.

Pihak BNBCC berupaya memerintah Borneo Utara sehingga 1942, selama 60 tahun apabila Perang Dunia Kedua tercetus. Tentera Jepun mendarat di Labuan pada 1 Januari dan menduduki Borneo Utara sehingga ia dibebaskan oleh askar dari ‘9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F)’ pada tahun 1945. Selepas

Perang Dunia Kedua, Borneo Utara telah ditadbir oleh Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration) sehingga 15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.

Tanah Jajahan British (Crown Colony)

Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara diletakkan di bawah jajahan British kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah menyebabkan Jesselton dipilih sebagai ibu negeri selepas era Perang Dunia Kedua dan status ini kekal ke hari ini. Sistem pentadbiran penjajahan selepas perang adalah sama dengan sistem pentadbiran pada era BNBCC. Pembinaan semula dan pembangunan negeri Borneo Utara menjadi fokus utama para pentadbir.


Kemerdekaan

Pada amnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo Utara. Penyebaran semangat ini bermula dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura. Malaysia telah wujud dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah mencapai kemerdekaan dari British pada 31 0gos 1963. Bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia.

Penglibatan negeri Sabah dalam Persekutuan ini banyak membawa perubahan dari aspek pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya. Sabah terus mengalami pembangunan yang pesat dan seterusnya memasuki era baru yang lagi mencabar sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.


Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992
.

Copyright By Pangazou Production & Entertainment

Posted by Katama Ronald :: Thursday, June 05, 2008 :: 1 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------
Kesultanan Brunei

Kesultanan Brunei

Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo. Kecuali dari Eropah, pendatang asing yang berurusan dengan Sabah (Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis tentang kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki sebarang rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.

Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei ( Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.

Kedatangan Pendatang Eropah

1521: Pigafetta, seorang penulis sejarah Ferdinand Magellan tiba di Brunei dan telah disambut secara besar-besaran

1526: Orang Portugis yang diketuai oleh Menezes melawat Brunei

1577: Kuasa Sepanyol telah menakluk Filipina dan juga menyerang Brunei. Kesultanan Sulu juga ditakluk oleh Spanyol

1609: Belanda telah mendirikan pangkalan dagangan di Batavia (Jakarta), Jawa.

1658: Sultan Brunei telah menghadiahkan kawasan timur laut Borneo kepada Sultan Sulu sebagai penghargaan baginda terhadap Sultan Sulu dalam menyelsesaikan perang saudara di antara Sultan Abdul Mubin dengan Pengeran Mohidin. Persengketaan dalaman kerajaan Brunei merupakan satu faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar tersebut.

1665: Kapten Cowley telah melawat Borneo dan beliau merupakan orang Inggeris pertama yang melakukan lawatan ke Borneo.

Balembangan

Dalam tahun 1761, Alexander Dalrymple seorang pegawai dari Syarikat Hindia-Timur British di Madras, India telah membuat satu perjanjian dengan Sultan Sulu yang membenarkan beliau membuka satu pangkalan perdagangan di kawasan Borneo Utara. Beliau telah memilih Pulau Balembangan kira-kira 20 batu dari utara bandar Kudat. Pada tahun 1763, Dalrymple telah mengibarkan bendera British di Balembangan dan menamakan pulau itu ' Felecia'. Kemudian seorang pegawai iaitu John Herbert dihantar untuk mendirikan penempatan di Felecia (Balembangan).Namun begitu penempatan ini menghadapi masalah sejak ia dimulakan. Kepincangan urusan pentadbiran, rompakan di laut dan kemusnahan kebakaran telah membawa kehancuran kepada pangkalan dagangan ini pada akhir 1775. Satu usaha untuk menyusun semula pangkalan ini telah dilakukan pada 1803 oleh General Gabenor India, Lord Arthur Wellesley melalui pegawainya Robert J. Farquhar, Residen di Amboina. Dalam usaha ini Felicia telah dijadikan stesen ketenteraan tetapi usaha tersebut gagal dan stesen ini ditinggalkan pada November 1805. Perhatian British kemudian beralih kepada kawasan lain di gugusan pulau Melayu.

Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992.


Copyright By Pangazou Production & Entertainment

Posted by Katama Ronald :: Thursday, June 05, 2008 :: 0 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------