Pangazou Production & Entertainment - Opunso Tinau Atagak Kointutunan Om Koubasanan


Pangazou Penampang adalah Pangazou yang bergelar Pahlawan yang berani untuk mempertahankan kampungnya di Penampang daripada diserang lanun-lanun pada zaman dahulu. Dan tujuan saya untuk membuat blog ini bukanlah mencuri idea orang tetapi untuk menyimpan sejarah-sejarah ini dan juga bersama-sama untuk menaikkan semangat Orang Kadazan Dusun terutama dibahagian Penampang yang bergelar sebagai Pangazou Penampang seperti Monsopiad dan lain-lain Pahlawan Kadzan Dusun Di Penampang.

Friday, February 24, 2006

LATAR BELAKANG SEJARAH SEKOLAH DATUK PETER MOJUNTIN

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin ini merupakan sebuah sekolah menengah yang terletak kira-kira 15 km dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, 3 km dari pekan Donggongon, Penampang dan kira-kira 2 km dari lebuhraya Kota Kinabalu -Penampang. Nama sekolah ini mengambil sempena nama mendiang DATUK PETER J. MOJUNTIN ,seorang ahli politik yang ulung di daerah Penampang ini. Pengambilan nama mendiang itu adalah sebagai peringatan dan penghormatan kepada beliau sebagai wakil rakyat Moyog dan ahli parlimen kawasan Penampang. Pengambilan nama beliau juga adalah kerana mengenangkan jasa baik dan sumbangan bakti beliau kepada masyarakat daerah penampang ini khususnya dan rakyat Sabah umumnya.

Sejarah sekolah ini bermula pada akhir tahun 60an. Idea pertama telah disuarakan oleh mendiang Datuk Peter J. Mojuntin sendiri sebagai pengasas sekolah ini. Cadangan mendiang Datuk Peter J. mojuntin mengenai pembinaan sekolah ini telah mula dibina pada tahun 1975 dan siap menjelang tahun 1978 . Malangnya mendiang telah tidak sempat menyaksikan bangunan sekolah indah ini kerana pada 6 Jun 1976 beliau telah meninggal dunia dalam satu kemalangan udara semasa menjalankan tugas untuk rakyat dan negara.

Sekolah ini telah mula mengambilpelajarnya buat kali pertama nya pada bulan januari 1978 iaitu seramai kira-kira 200 orang dalam 5 buah kelas tingkatan 1 dengan seramai 7 orang guru . Pada masa itu anak didik sekolah ini menumpang di bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Joseph ,Penampang di bawa pengawasan En. Julie Gala @ Julius Voon sebagai pengetua pertama sekolah ini .

Antara guru pada masa itu :

1.En.Julius Voon
2.En. Shaari Darus
3.En.Mohamod Patan
4.Lily Lim
5.Lucilla Yeh
6.Shirley Ho
7.Winny Bosi

Apabila bangunan tetap sekolah ini telah siap maka mereka berpindah ke kampus tetap ini pada bulan oktober 1978 dan pengetua yang pertama di bangunan tetap ini ialah En. Anthony Regis.Sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh bekas Menteri Pendidikan Malaysia YB. Dato' Musa Hitam SPMJ.SS pada 27 Febuari 1979. Sejak Tahun 1978 hingga sekarang seramai 8 pengetua silih berganti untuk mentadbir sekolah ini.

Mereka adalah seperti beikut:

1.En.Julius Julie@ Julius Voon (1 Januari 1987 hingga September 1978)
2.En. Anthony A.Ragis (Oktober 1978 hingga Disember 1982)
3.En.Fidelis Ingsing (1 Januari 1983 hingga 15 Febuari 1984)
4.En.Valin Melan (16 Febuari 1984 hingga bulan Mei 1985)
5.En.William Pan (Menjalankan tugas sebagai pengetua Jun 1985 hingga bulan Oktober 1985)
6.En.Dayu Sansalu ( 1 November 1985 hingga 1989)
7.En.Abdul Manas B.( 1989 hingga 1995)
8.Puan Normah Gagoh ( 1995 hinggalah 2000)
9.Puan Mary Yong (2002 Hinggalah sekarang)

Di samping itu presiden PIBAGU sekolah ini sejak ianya ditubuhkan ialah:
1.YB .Datuk Condrad Mojuntin (1978 hinngga 1984)
2.YB. En. Ignatius Malanjun (1985 hingga tahun 1986)
3.YBG. Datuk Jintol Mogunting (1987 hingga 1993)
4.Ybrs. En.Albert Dulaman @ Abdullah (1993 hingga 1994)

Dari segi taburan pelajarnya ,sekolah ini anak didik dari kawasan Daerah Penampang dan kawasan luar bandar seperti negara lain dari Buayan , Terian ,Deringin ,Longkogongan, Kaidun ,Kinarut dan sebagainya. Ibu bapa .Pelajar kebanyakannya adalah dari keluarga petani dan 95 peratus daripada anak-anak didik sekolah ini adalah dari kalangan suku kaum Kadazan / Dusun. SMK Datuk Peter Mojuntin ini pada mulanya mempunyai 2 bangunan dua tingakat untuk bilik darjah, bangunan dua tingkat untuk asrama putera dan asrama puteri , sebuah dewan serbaguna yang boleh menampung kira-kira 1500 pelajar dan sebuah bangunan Seni Perurusan . Di samping itu terdapat juga 100 unit rumah bahagian satu rumah Pangsa empat tingkat. Selepas itu kemudiannya ditambah lagi 2 bangunan bilik kuliah 3 tingkat dan sebuah rumah pangsa 4 tingakat untuk kakitangan guru dan sebuah bangunan rumah kerajaan untuk kakitangan bukan guru . Cadangan akan datang akan ditambah lagi dengan sebuah bangunan 3 tingkat untuk kelas dan sebuah bangunan asrama puteri 3 tingkat. Setakat ini mempunyai 33buah kelas dengan muridnya seramai kira-kira 1200 orang dengan gurunya seramai 79 orang dan kakitangan bukan mengajar seramai 18 orang.
Sementara ini sekolah ini hanya mengambil pelajar-pelajar dari tingkatan peralihan hingga tingkatan lima sains dan sastera. Pada masa akan datang PIBAGU ini akan memohon untuk mengadakan tingkatan 6 pula.

Semoga hasrat murni ini dapat dikabulkan demi untuk kepentingan masyarakat


PENGASAS SEKOLAH

Encik Julius Gala merupakan pengetua pertama sekolah ini. Beliau dilahirkan di kampung Kembirian, Menggatal pada 16 Februari 1950. Beliau dari keturunan bangsa Dusun dan anak ketiga dari tujuh adik beradik. Ibunya seorang suri rumah tangga dan bapanya seorang tukang masak.

Beliau mendapat pelajaran di SRK Darau, Menggatal dan melanjutkan pelajarannya hingga ke tingkatan 4 di La Salle(kerana masalah keluarga). Namun kegigihannya membolehkan beliau meneruskan pelajaran di tingkatan 5 dan 6 atas sebagai calon persendirian dan lulus dalam kedua-dua peperiksaan.

Pada tahun 1972, beliau memasuki Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu dalam bidang Pendidikan Jasmani. Setelah tamat pengajian beliau telah berkhidmat di SRK Kunak kemudian ke SMK Kunak pada tahun 1978. Beliau kemudian berpindah ke SMK Penampang (kini SMK Datuk Peter Mojuntin) dan berkhidmat di sekolah ini sehingga 1979.

Pada tahun 1979, beliau ditawarkan Biasiswa British untuk melanjutkan pelajarannya ke England dan berjaya mendapat ijazah dalam bidang Psikologi Pendidikan di Universiti Hull pada tahun 1982.

Sekembalinya, beliau beliau berkhidmat di Bahagian teknologi Pendidikan dalam bahagian produksi TV dan radio(1982-1986), kemudian sebagai pensyarah Psikologi Pendidikan di Maktab Kent Tuaran (1986-1989), kemudian sebagai seorang pendidik di SM St. Patrick, Membakut (1989-1983), pendidik di SM All Saints pada 1994 (diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat kebangsaan tahun 1994).

Dalam bidang ko-kurikulum, beliau sangat aktif dalam permainan bola sepak, badminton, karate dan acara lorong. Masa lapangnya digunakan untuk bermain golf, membaca buku, berkebun dan menterjemah buku-buku pendidikan.Prinsip hidup yang di amalkan beliau ialah 'Bekerja Keras Untuk Mencapai Sesuatu' dan 'I do what I can and I leave The Rest To God.'


(P)&(C) Copyright By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Friday, February 24, 2006 :: 239 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------
SEJARAH AWAL SRK ST. JOSEPH, PENAMPANG

Sekolah SRK St. Joseph, Penampang dipelopori oleh Mission Katolik di pertanggungjawabkan kepada “Sister St. Franciscan” yang dikenali sebagai “White Sister”, untuk mendidik kanak-kanak perempuan. Pada awalnya, Konven Sister St. Franciscan dibuka di Inobong pada tahun 1903 dan berpindah ke Penampang beberapa tahun kemudian.

Rev. Sister Alban dan Rev. Sister Innocentia datang dan tinggal di Konven di Penampang pada tahun 1913. Mereka mengumpul budak-budak perempuan dari kampung-kampung berhampiran untuk dididik tetapi sedikit sahaja yang datang dan kehadiran pun tidak menentu. Beberapa tahun kemudian sebelum tahun 19333, pendidikan serta bilangan murid yang datang bersekolah bertambah baik; dan bilangan “White Sister” pun bertambah. Pada tahun 1933 terdapat dua buah bilik darjah di tingkat bawah bangunan konven tersebut.

Pada mulanya Sekolah St. Joseph, Penampang adalah dikenali sebagai “St. Joseph’s Convent School”. Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah mission yang tertua di negeri Sabah. Pada ketika itu, ia adalah satu-satunya Sekolah Mission Katolik di Daerah Penampang. Sebelum Perang Dunia Kedua, darjah dikenali sebagai “Standard”. Usaha pendidikan terjejas apabila Perang Dunia Kedua berlaku.


SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Selepas peperangan itu, sekolah tersebut dibuka semula dan para “White sister” tersebut di bawah penyeliaan Rev. Sr. Philippa, berusaha menambahkan kehadiran penuntut serta membaik-pulih bangunan dan pendidikan sekolah tersebut. Di antara guru-guru yang telah membantu menjalankan pentadbiran dan mendidik murid-murid sekolah tersebut pada ketika itu ialah Rev.Sr. Elizabeth dan Rev. Sr. Ann Joachem.`
Guru Besar sekolah tersebut dalam tahun 1950 ialah Rev. Sister Annunciata. Pada masa itu bilik-bilik darjah dibahagikan kepada lima sahaja, iaitu darjag satu hingga darjah lima. Bilangan murid dalam tiap-tiap darjah berjumlah daripada dua puluh hingga tiga puluh orang sahaja. Murid-murid datang ke sekolah dengan berjalan kaki kerana masa itu belum ada jalan raya dan kenderaan seperti pada masa kini.
Pada tahun 1957, sekolah tersebut telah meningkat sehingga darjah enam. Pada ketika itu jumlah murid dalam darjah enam hanya 15 orang. Sebelum tahun 1971, sekolah tersebut telah meningkat sehingga tingkatan tiga. Pada awal tahun 1971, Sekolah Menengah St. Joseph dan Sekolah Menengah St. Michael, Penampang bergabung dan dikenali sebagai Sekolah Menengah St. Micahael sementara Sekolah Rendah St. Joseph dan Sekolah Rendah St. Michael, Penampang bergabung dan dikenali sebagai Sekolah Rendah St. Joseph, Penampang.

Guru Besar Sekolah Rendah St. Joseph pada tahun 1971 hingga tahun 1973 ialah Puan Clementina Maluda. Encik Peter Lidadaun, bekas Pembantu Kanan Sekolah Rendah St. Michael, Penampang pula dilantik sebagai Pembantu Kanan Sekolah Rendah St. Joseph, Penampang pada tahun 1971 hingga tahun 1973. Pada awal tahun 1974, Encik Peter Lidadun telah dilantik sebagai Guru Besar sekolah tersebut.
Pendaftaran kemasukan murid-murid ke SRK St. Joseph, Penampang telah meningkat kepada 805 orang pada thuna 1987 dan 859 orang pada tahun 1988. Dewasa ini, sekolah tersebut mempunyai empat buah bangunan dengan 18 buah bilik darjah. Sekolah ini merancang untuk membina bangunan baru untuk kemudahan yang lebih sempurna kepada para pelajar yang kian bertambah, lagipun ke empat-empat bangunan yang sedia ada sudahpun agak uzur. Kerjasama dan bantuan dari semua pihak yang berkenaan adalah sangat-sangat diperlukan supaya rancangan tersebut dapat dilaksanakan.
Ramai pegawai yang menjawat jawatan tinggi di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta pernah mendapat pendidikan asas mereka di sekolah ini. Penghargaan sepatutnya diberikan kepada Guru Besar dan guru-guru yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan kesungguhan para penuntut dalam usaha mereka yang terlibat sama dalam membantu mengwujudkan nilai akhlak yang tinggi terhadap sekolah ini.
Berikut adalah senarai Guru Besar yang telah pernah mentadbirk Sekolah SRK St. Joseph, Penampang sejak 1950 :-

1950 hingga 1952 - Rev. Sister Annunciata
1953 hingga 1956 - Rev. Sister Germaine
1957 hingga 1958 - Rev. Sister St. Luke
1959 hingga 1962 - Rev. Sister St. Leonard
1963 hingga 1964 - Rev. Sister Ann Joacham
1965 hingga 1970 - Rev. Sister Francis Mary
1971 hingga 1973 - Puan Clementina Maluda
1974 hingga 1993 - Encik Peter Lidadun
1993 hingga sekarang - Puan Helen Mogindol

Di antara perintis, pentadbir dan guru-guru sekolah tersebut sebelum tahun lima puluhan ialah:
Rev. Sister Alban
Rev. Sister Innocentia
Rev. Sister Philippa
Rev. Sister Ann Joachem
Rev. Sister Elizabeth


(Disusun oleh Encik Peter Lidadun dengan bantuan Puan Stella Yap, Puan Philippa Miji, Puan Dolores Johnioh dan bekas-bekas penuntut sekolah tersebut.)





SENARIO SRK. ST. JOSEPH,
PENAMPANG, SABAH.


Keadaan Geografi Sekolah:

Sekolah ini terletak di atas bukit yang tidak tinggi. Ia berhampiran dengan sebatang sungai Moyog sebagai nadi kehidupan penduduk di daerah Penampang pada suatu ketika dahulu.Tahun 1903 Sekolah St. Joseph Penampang telah diasaskan oleh Mission Katolik dan pengurusannya dipertanggungjawabkan kepada “St. Franciscan Sister” yang dikenali sebagai “White Sister”.Tahun 1913 Rev. Sister Alban dan Rev. Sister Innocentia yang datang menetap di Konven Penampang telah mengumpul beberapa murid untuk dididik.

Tahun 1933 Bilangan murid bertambah dan pihak Konven terpaksa menambahkan bilangan “White Sister”.Pada mulanya sekolah St. Joseph Penampang dikenali sebagai “St. Joseph’s Convent School”. Sekolah ini merupakan salah
sebuah sekolah mission yang tertua di negeri Sabah dan satu-satunya sekolah mission katolik di daerah Penampang. Sebelum perang dunia kedua, kelas atau darjah disebut sebagai “Standard”. Usaha pendidikan terjejas apabila perang dunia kedua berlaku.


Selepas Perang Dunia Kedua Selepas gencatan senjata, maka sekolah ini telah dibuka semula di bawah penyeliaan Rev. Sr. Philippa.Para “White Sister” ini telah berusaha untuk menarik kehadiran pelajar-pelajar serta membaik pulih bangunan sekolah.Guru-guru telah membantu menjalankan pentadbiran sekolah dan mendidik murid-murid pada ketika itu ialah Rev. Ann Joachem dan Rev. Sr. Elizabeth.


Tahun 1950 Rev. Sister Annunciata dilantik sebagai Guru Besar. Semasa pentadbiran beliau, terdapat lima sahaja bilik darjah yang bermula dari darjah satu hingga darjah lima. Terdapat 20 hingga 30 sahaja bilangan murid dalam setiap darjah.


Tahun 1957
Bilangan bilik darjah sekolah ini meningkat sehingga darjah enam dan mempunyai 15 orang murid sahaja.


Tahun 1971
Sekolah ini mengambil kemasukan murid sehingga tingkatan tiga. Maka wujudlah Sekolah Menengah St. Joseph dan Sekolah Menengah St. MichaelPenampang yang bergabung dan digelar sebagai Sekolah Menengah St. Michael. Sementara Sekolah Rendah St.Joseph dan Sekolah Rendah St. Michael Penampang bergabung dan digelar sebagai Sekolah Rendah St. Joseph Penampang.


Guru Besar Sekolah Rendah St. Joseph pada tahun 1971 – 1973 ialah Puan Clementina Maluda dan pembantu kanannya ialah Encik Peter Lidadun.


Encik Peter Lidadun dilantik sebagai Guru Besar pada tahun 1974 – 1993 untuk mengambil alih menguruskan dan mengendalikan pentadbiran sekolah.


Pendaftaran kemasukan murid-murid SRK St. Joseph Penampang telah meningkat seramai 805 orang pada tahun 1987 dan seramai 859 orang pada tahun 1988. Bilik darjah telah bertambah sehingga 18 buah bilik darjah dari dua bangunan sekolah iaitu bangunan Tahap I terletak di perkarangan Sekolah Menengah St. Michael Penampang dan bangunan Tahap II terletak di atas bukit.


Tahun 1994
Selepas Encik Peter Lidadun bersara pada tahun 1993, Penolong Kanan I, Puan Helen Mogindol telah memangku jawatan sebagai Guru Besar dan menjalankan pentadbiran sekolah sehinggalah beliau dilantik sebagai Guru Besar pada bulan Mac, 1997.


Tahun 1995
Sejak sekolah ini diwujudkan dan beroperasi sebagai salah sebuah institusi pendidikan formal dalam tahun 1957, maka bangunan sekolah ini banyak mengalami kerosakan walaupun seringkali dibaik pulih dan ia tidak bertahan sehingga tahun 1995.


Pada tahun ini, keuzuran bangunan sekolah semakin nyata dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah merancang untuk membina bangunan baru. Jurutera-jurutera dari Jabatan Kerja Raya telah mengenal pasti bahawa bangunan sekolah ini tidak selamat digunakan lagi.


Julai, Tahun 1995
Guru-guru dan murid-murid SRK St. Joseph Penampang terpaksa berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bahang, Penampang untuk sementara waktu meneruskan pembelajaran sehingga bangunan lama dapat dibaiki dengan tahap keselamatan yang terjamin.


Tahun 1997
Atas usaha dan kegigihan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, maka bangunan SRK St. Joseph Penampang telah dibaiki dan beberapa penambahan bangunan baru telah didirikan seperti tandas guru dan murid, dewan legar dan stor PJK, membanggakan warga sekolah. Awal tahun 1997, murid-murid dan guru-guru yang memilih balik ke sekolah lama dapat menikmati sekolah yang berwajah baru dan menghirup udara yang segar di atas bukit.


Aktiviti Sepanjang Tahun 1997 Setelah Kembali Ke Sekolah Yang Berwajah Baru

a). Projek Muriel dijalankan untuk menambahkan lagi keceriaan wajah sekolah baru.


b). Guru-guru datang untuk bergotong-royong sebanyak 4 kali untuk membersihkan kawasan sekolah, lereng-lereng bukit, bilik-bilik darjah, stor-stor dan menanam pokok-pokok bunga serta membina tapak reflexologi kaki.


c). Aktiviti kokurikulum seperti khemah Unit Beruniform telah dijalankan
pada bulan Julai untuk melatih murid dalam ketahanan mental dan fizikal.


d). Aktiviti yang berbentuk Akademik telah dijalankan sepanjang tahun 1997 iaitu :

. Khemah Motivasi UPSR
. Projek Gerak Gempur
. Kelas Tambahan Murid Tahun 4, 5 dan 6.


Tahun 1998
a). Projek Anak Angkat dilaksanakan. Guru-guru akan menerima 2 atau 3 orang murid tahun 6 untuk dijadikan sebagai anak angkat supaya mereka dapat dibimbing dan dilatih cara menghadapi kertas ujian peperiksaan dan mempelajari teknik-teknik menjawab soalan.


Majlis projek anak-angkat ini diadakan pada 18hb.April 1998 dan di rasmikan oleh tuan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Encik A.Thalib Haji Alias. Kehadiran ibu bapa dan murid amat menggalakkan dan segala nasihat, amanat dan matlamat projek tersebut telah disampaikan dengan berkesan oleh tuan PPD kepada para ibu bapa,guru dan murid.


b). Pertandingan Melukis Poster Anjuran Jetama Sdn. Bhd. Sempena Hari Air Sedunia.
Seramai 9 orang murid SRK St. Joseph Penampang mengambil bahagian dalam pertandingan melukis poster sempena Hari Air Sedunia anjuran Jetama Sdn. Bhd. pada 21hb.Mac 1998.


c). Lawatan Sambil Belajar Ke Empangan Babagon dan Loji Perawatan Air, Jetama Sdn. Bhd. Panitia Sains dan Kajian Tempatan sekolah melaksanakan salah satu aktivitinya untuk memberi pendedahan kepada seramai 30 orang murid dan 10 orang guru untuk melawat ke Empangan Babagon dan Loji Perawatan Air, bahawa betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia dan cara perawatan air agar selamat digunakan.


d). Sukaneka Sempena Hari Guru Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pula mengadakan Sukaneka untuk guru-guru, kakitangan bukan mengajar, murid- murid dan ibu bapa sempena Hari Guru pada 29hb.Mei 1998.

e). Keceriaan Sekolah Projek Mural dan gotong-royong adalah dalam perlaksanaan pada bulan Jun ini dan sepanjang tahun 1998.


(P)&(C) Copyright By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Friday, February 24, 2006 :: 2 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------

Thursday, February 23, 2006

Sejarah Pahlawan Mat Salleh

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.
Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.
Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.
Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.
Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru.
Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya'.
Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.


(P)&(C) Copyright By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Thursday, February 23, 2006 :: 0 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------

Monday, February 13, 2006

Asal Usul Kebudayaan Tradisional Kaum Kadazan Dusun: Magavau, Humabot, Sumazau, Bobohizan dan lain-lain lagi.

Kepada semua pengunjung website Pangazou Penampang ini adalah asal usul cerita daripada Datuk Jintol Mogunting yang saya petik dari perpustakaan Negeri Sabah. Ikutilah cerita ini.


Menurut Cerita daripada nenek moyang pada zaman dahulu terdapat sepasang anak iaitu seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Kedua-dua anak ini berasal daripada batu. Batu itu pula terapung-apung ditengah-tengah ruang angkasa.

Tidak berapa lama kemudian, maka terbelahlah batu itu yang menyebabkan kedua-dua anak itu lahir ke dunia iaitu di bumi kita ini. nama mereka ialah Huminodun(Lelaki) dan suminundu(Perempuan).

Apabila kedua-duanya telah dewasa, mereka pun jatuh cinta lalu mendirikan rumahtangga. tidak berapa lama kemudian mereka berkahwin dan dari perkahwinan mereka itu maka lahirlah seorang anak perempuan iaitu anak mereka yang pertama. Anak itu telah diberi nama iaitu HINOKIZAN.

Huminodun dan Suminundu amat menyanyangi Hinokizan. Hinokizan lahir dalam bentuk yang sempurna dan rupa paras yang sungguh indah dan comel. Tidak hairanlah jika Huminodun dan Suminundu gembira dan bangga anak yang sedemikian rupa.

Sejak Hinokizan dilahirkan, Huminodun dan Suminundu bekerja keras dan bertunkus lumus mencari nafkah bagi membesarkan Hinokizan dan juga untuk mereka sekeluarga. Setiap hari kerja Huminodun ialah memburu binatang di dalam hutan yang berdekatan dengan tempat mereka tinggal. Kerja Suminundu pula hanyalah menebas kayu-kayu di hutan, mencari benih-benih tumbuhan yang tumbuh subur di pinggir hutan, kerja-kerja rumah dan juga menebas semak samun disekitar rumah mereka agar dapat dijadikan kawasan tanaman bagi benih-benih yang didapatinya dari pinggir hutan.

Pada suatu hari Huminodun pergilah memburu didalam hutan dan tinggallah Suminundu dan anaknya Hinokizan dirumahnya. Sebaik sahaja Huminodun pergi memburu dan hilang dari pandangan mereka Suminundu pun membawa Hinokizan ketempat yang telah ditebasnya. Suminundu juga membawa seuncah pundi kecil yang diisikan benih-benih yang didapati dari pinggir hutan. Apabila mereka tiba ditempat itu maka Suminundu pun menyuruh Hinokizan supaya berbaring dirumput yang tumbuh menghijau. Tujuan Suminundu ialah untuk membuang kutu-kutu rambut yang terdapat pada rambut Hinokizan. Sebelum Suminundu menyuruh Hinokizan berbaring dirumput Suminundu telah pun menanam benih-benih yang dibawanya tadi. Setelah benih-benih itu ditanam barulah Suminundu menyuruh Hinokizan baring dirumput berdekatan dengan kawasan tertanamnya benih-benih itu. Maka Hinokizan pun baringlah dirumput itu. Sebaik sahaja Hinokizan berbaring dirumput Suminundu pun mulalah mencari kutu-kutu rambut yang terdapat pada rambut Hinokizan. Pada waktu itu angin bertiup dengan kencang dan udaranya segar serta nyaman sekali. Suasana yang aman itu menyebabkan Hinokizan tertidur.

Setelah sekian lama Hinokizan tertidur dan Suminundu sendiri pasti bahawa Hinokizan tertidur dengan nyenyaknya maka Suminundu mengeluarkan sebilah parang yang dibawanya bersama. Suminundu mengerat badan Hinokizan dan selepas itu dicincangnya pula keratan-keratan badan Hinokizan. Darah Hinokizan terpancut keseluruh kawasan yang ditebasnya itu. Suminundu membunuh Hinokizan kerana dia tak dapat menyara Hinokizan lagi. Ini adalah kerana suaminya Huminodun belum juga pulang-pulang daripada memburu di dalam hutan. Makanan yang padanya hanyalah cukup untuk seorang sahaja.

Seminggu kemudian Suminundu pun kembali ke tempat dimana Suminundu telah membunuh anaknya Hinokizan. Apabila Suminundu tiba ditempat itu Suminundu pun berasa hairan dan juga terkejut kerana melihat benih yang ditanam oleh Suminundu sendiri sudah mengeluarkan hasil. Suminundu tidak menyangka bahawa benih-benih itu akan tumbuh dengan suburnya.

Berjenis-jenis tumbuhan telah tumbuh disitu misalnya padi, jagung, ubat-ubatan, dan banyak lagi tumbuhan lain. Kononnya tumbuh-tumbuhan itu terjadi daripada darah daging, kepala, tulang dan lain-lain bahagian badan Hinokizan. Suminundu Menjadi sangat gembira lalu mengucapkan terima kasih kepada bahagian-bahagian badan Hinokizan yang telah dicincangnya itu dan meminta maaf kerana terpaksa membunuhnya anaknya. Suminundu pun membawa balik hasil-hasil itu lalu memasak dan memakanya dengan lahapnya.

Tidak berapa lama kemudian maka baliklah Huminodun daripada memburu didalam hutan. Huminodun pun menyerahkan hasil buruannya itu kepada Siminundu isterinya. Huminodun pun bertanya dimana perginya Hinokizan kerana Huminodun amat rindu dengan anaknya Hinokizan.

Suminundu pun menceritakan apa yang telah berlaku sejak pemergian Huminodun ke hutan untuk memburu. Setelah Huminodun mendengar kisah itu maka Huminodun pun menyuruh suminundu menunjukkan tempat dimana Hinokizan di bunuh. Setelah Suminundu memberitahu tempat itu uminodun pun terus pergi ke tempat itu.

Apabila Huminodun tiba ditempat itu Huminodun juga mersa hairan kerana semua benih-benih yang ditanam oleh Suminundu semuanya menjadi. Tetapi bukan itu sahaja yang dilihatnya bahkan juga darah, dagigng, tulang, kepala dan sebagainya juga ada. Huminodun kemudian menjadi susah hati kerana itulah satu-satunya anak mereka yang ada. Huminodun kemudian menebas rumput rumpai yang tumbuh disekelilingnya kawasan itu.

Tiba-tiba Huminodun mendengar satu suara. Dia terus memasang telinganya. Setelah beberapa lama barulah Huminodun pasti bahawa suara itu adalah suara Hinokizan. Dia memandang di sekelilingnya. Tetapi Huminodun berasa hampa kerana Huminodun tidak nampak sesiapapun. Sura itu menyuruhnya mendengar apa yang akan dikatakan oleh Hinokizan kepada Huminodun nanti. Huminodun pun mendengar sambil degupan jantungnya bertambah kencang.

Suara yang menyerupai suara Hinokizan itu berkata;

"Ayah saya ialah Hinokizan anak ayah. Saya boleh nampak ayah tetapi ayah tidak boleh nampak saya. Saya sudah menjadi tumbuh-tumbuhan disini ayah. Ambillah tujuh tangkai padi yang paling tinggi dan selepas itu ikatlah kesemua tujuh tangkai padi itu dan carilah buluh yang kecil dan belahlah hujungnya dan selipkanlah tujuh tangkai padi itu ke hujung buluh itu. Apabila semua padi sudah dituai bawalah kembali tujuh tangkai padi itu dan simpanlah ia dengan selamat. Jangan lupa untuk memasukkan tujuh tangkai padi itu kedalam sebuah tajau yang besar. Selepas 30 hari kemudian saya akan lahir semula ke dunia menemui ayah dan juga ibu yang saya sayangi serta dirindui selalu. Ingatlah kata-kata saya ini ayah. Jangan ada sedikit pun yang tersilap. Jika silap ayah dan ibu tidak akan dapat berjumpa dengan saya lagi. Ingatlah ayah....."

Selepas itu suara Hinokizan pun hilang. Huminodun pun melakukan apa yang disuruh oleh Hinokizan. Diambilnya tujuh tangkai padi lalu dicarinya buluh dan dibelahnya buluh itu kemudian desilipkannya tujuh tangkai padi ke celah-celah buluh itu. Dibawahnya tujuh tangkai padi itu pulang lalu dimasukkan kedalam sebuah tajau yang besar.

Perbuatan Huminodun itu menghairankan Suminundu. Huminodun pun menceritakan kembali apa yang telah terjadi. Suminundu mendengar dengan penuh perhatian dan tidak menyampuk pun kata-kata Huminodun. Selesai sahaja Huminodun bercerita Siminundu pun tersenyum dan bersyukur kerana Hinokizan tidak menaruh dendam pada Suminundu.

Genap sahaja 30 hari, Suminundu dan Huminodun pun duduk dekat tajau itu. Mereka menunggu dengan penuh kesabaran. Kira-kira waktu matahari hampir terbenam di sebelah barat maka terdengarlah mereka bunyi yang aneh dari tajau itu. Tidak berapa lama kemudian keluarlah Hinokizan dari tajau dalam tajau itu dengan pakaian Bobohizan.Hinokizan juga membawa keluar peralatan-peralatan yang terdiri daripada Gong, Sesevion, Hinibu, dan lain-lain lagi. Apabila Hinokizan keluar sahaja dari tajau itu huminodun dan Suminundu terus menerpa kearah Hinokizan lalu mereka anak-beranak pun berpeluk cium lalu bersalam-salaman untuk menghilangkan rasa rindu masing-masing.

Mereka berpesta dan bersuka ria sepanjang hari bagi menyambut kepulangan Hinokizan. Mereka juga memukul serta membunyikan segala peralatan yang dibawa oleh Hinokizan dan juga menari Sumazau iaitu tradisional Kaum Kadzan Dusun di Sabah.

Setelah mereka penat bersuka ria mereka pun bercerita dan berbual-bual sambil minum kopi. Waktu itu juga Hinokizan pun menunjukkan kepandaiannya bermain alat-alat muzik dan juga cara-cara Mogondi / Momuinait, Magavau, Humabot, Bobohizan, Magang dan juga Moginakan.

Selain daripada itu Hinokizan juga mengajar mereka cara-cara membuat ubat daripada akar-akar kayu dan juga tumbuhan-tumbuhan hijau bagi mengubati orang-orang yang sakit. Jika cara perubatan tradisional ini diikuti kemungkinan besar penyakit yang tak dapat disembuhkan dapt disembuhkan.

Satu lagi cara mengubati penyakit ialah dengan cara perubatan tradisional yang dipanggil Bobohizan seperti Monohindong dan juga Mogsisingkod. semua ini diajar oleh Hinokizon kepada ayah dan ibunya. Huminodun dan Suminundu sekali lagi berasa bangga terhadap Hinokizon.

Semua acara-acara ini iaitu Magavau, Sumazau dan juga yang lain-lain adalah hasil daripada tunjuk ajar Hinokizan yang hidup semula daripada padi.

Begitulah cerita tentang asal usul Kebudayaan Tradisional Kaum Kadazan Dusun yang saya selidik daripada cerita orang tua di Penampang.




Begitulah cerita Asal Usl Kebudayaan yang saya petik dari Mendiang Datuk Jintol Mogunting. Terima kasih kerana sudi membaca.


(P)&(C) Mendiang Datuk Jintol Mogunting

Posted by Katama Ronald :: Monday, February 13, 2006 :: 5 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------

Tuesday, February 07, 2006

Rangkaian Keluarga Dusun Di Sabah





Gambar di atas adalah gambar dimana "Rangkaian Keluarga Dusun Di Sabah" mempunyai banyak cabang. Ini merupakan Keluarga Dusun yang terbesar Di Sabah. Di Sabah mempunyai ramai etnik budaya yang berbilang kaum. Tujuan saya membuat kajian ini adalah untuk membangunkan semula rakyat sabah dari mana datangnya asal usul mereka terutama kaum Kadazan Dusun Murut (KDCA) dimana kebanyakkan zaman muda-mudi atau remaja zaman sekarang tidak tahu dari mana asal usul mereka..........

Oleh itu saya ingin mengembalikan semangat semua bangsa KadazanDusunMurut di Sabah..... Saya juga membuat penyelidikkan tentang suku kaum di Sabah sebab Sabah mempunyai 42 suku kaum serta budaya dan juga tarian juga kepada loghat di Sabah......
Kepada yang ingin berkongsi dengan saya bolehlah mengisi di guestbook pangazou atau email kepada saya di sebelah kanan side bar...........

Sekian,

Pangazou @ Katama


(P)&(C) Copyright By Perpustakaan Negeri Sabah

Posted by Katama Ronald :: Tuesday, February 07, 2006 :: 3 comments

Post a Comment

---------------oOo---------------